Latar Belakang

  • Sejarah

    Kementerian Pertahanan telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 dan memulakan operasi rasminya di sebuah bangunan yang terletak di Brockman Road (sekarang Jalan Dato' Onn) , Kuala Lumpur. Bangunan ini turut menempatkan pejabat Menteri Pertahanan yang pertama iaitu Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussien yang berkhidmat dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

    Bangunan Kementerian Pertahanan yang pertama telah dibina oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos bernilai RM122,000.00 dan telah dirasmikan oleh Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein pada 18 Mac 1960. Bangunan yang dibina di Jalan Padang Tembak ini juga menempatkan pejabat Panglima-panglima dan Pegawai Tinggi Angkatan Tentera Malaysia dari ketiga-tiga perkhidmatan.

    Akibat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin betapa peri pentingnya pembesaran keanggotaan angkatan tentera, sebuah kompleks yang mengandungi 6 blok setinggi 4 tingkat telah dibina di hadapan Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota bagi menampung jumlah keanggotaan yang semakin bertambah. Bangunan bernilai RM 2 juta ini telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 6 April 1967.

    Selepas pengunduran tentera British , Kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik untuk meningkatkan tahap keselamatan negara dari sebarang ancaman. Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertahanan selain mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan keperluan angkatan tentera dari masa ke semasa.

    Bagi menampung kesemua agensi di bawah satu bumbung, kerajaan telah membuat keputusan membina satu bangunan baru untuk Kementerian Pertahanan. Sebagai simboliknya, batu asas bangunan tersebut telah diletakkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Haji Mustapha pada 10 Mac 1982. Bangunan baru yang terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur ini telah dibina dengan nilai RM144 juta dan telah disiapkan pada pertengahan tahun 1985. Bangunan setinggi 20 tingkat ini dikenali sebagai "WISMA PERTAHANAN" yang turut menyediakan ruang-ruang pejabat dan bilik-bilik mesyuarat. Kawasan sekeliling "WISMA PERTAHANAN" yang dikenali sebagai Kompleks Wisma Pertahanan turut menyediakan beberapa kemudahan seperti bangunan tempat letak kereta bertingkat, auditorium, surau, Medan Pertahanan (Padang Kawad), balai pengawal, menara, bilik komputer, 'helipad', kafetaria dan lain-lain.

    Kementerian Pertahanan diterajui oleh Menteri Pertahanan dan dibantu oleh seorang Timbalan Menteri. Organisasi Kementerian Pertahanan pula mengandungi dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera.

  • Perutusan Panglima Angkatan Tentera

    Assalamualaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera.

    Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas atas kesinambungan Portal Rasmi MinDef. Saya berasa gembira kerana ATM turut komited ke arah mengaplikasi kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang dinamik dan canggih pada hari ini menerusi portal ini. Saya percaya bahawa sejak ianya dilancarkan, pelbagai maklumat dan berita berkaitan ATM telah dapat dikongsi bersama dalam komuniti MinDef serta pihak luar. Justeru, adalah menjadi harapan saya agar maklumat dan berita semasa sama ada tentang peranan dan tugas, hal-ehwal mahupun aktiviti ATM akan dimanfaatkan dengan optimum sesuai dengan matlamat pewujudan medium tersebut.

    Pada masa yang sama, suka saya menyeru ketiga-tiga cabang ATM agar meneruskan sokongan padu kepada portal ini dengan menyalurkan berita dan maklumat terkini serta memberi maklum balas bagi setiap pertanyaan atau komen dengan berhemah, tepat dan pantas. Saya percaya bahawa hasilnya akan turut menaikkan imej dan reputasi ATM di mata pihak umum di samping memelihara keyakinan semua pihak terhadap komitmen berterusannya sebagai perisai negara serta penyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau.

    Akhir kata, saya berharap agar portal ini akan memartabatkan lagi tahap profesional, integriti dan ketelusan sistem penyebaran maklumat MinDef demi kebaikan kita bersama. Semoga platform signifikan ini merapatkan hubungan baik, kesepaduan dan kerjasama antara ATM dengan rakan-rakan dari MinDef serta pihak luar dan sekali gus menyokong aspirasi gagasan 1Malaysia.

    Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

    YM JENERAL TAN SRI RAJA MOHAMED AFFANDI BIN RAJA MOHAMED NOOR
    Panglima Angkatan Tentera

  • Ikrar Perkhidmatan Awam

    Kami yang telah dilantik berkhidmat dengan kerajaan Malaysia membuat ikrar di sini bahawa semasa dan selagi kami berkhidmat dengan Kerajaan, kami akan patuh dengan mengamalkan teras-teras perkhidmatan semasa menjalankan tugas. Ke arah ini kami:

    • Berazam meningkatkan mutu perkhidmatan;
    • Bekerja dengan penuh tanggungjawab;
    • Berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri;
    • Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan;
    • Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara;
    • Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara; dan
    • Berpegang teguh kepada ajaran agama.

CetakEmel

ATM
TDM
TLDM
TUDM

Kementerian Pertahanan Malaysia

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
MALAYSIA
(60)3-2059 8400
(60)3-2691 4163
portal[at]mod[dot]gov[dot]my

Hak Cipta @ 2017 KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA | Paparan terbaik menggunakan pelayar internet Mozilla Firefox, Chrome dan Internet Explorer 11 ke atas

×

Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050. Dari sebuah negara maju, kita harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

Sasaran ini harus diisi dan diberi makna oleh warga Malaysia sendiri. Ayuh, marilah kita berkongsi pendapat dan idea serta menetapkan matlamat bersama ke arah masa hadapan Negaraku. Bersama kita satukan minda dan harapan.

Apakah aspirasi anda untuk Pertahanan Negara di tahun 2050?
Invalid Input

Jantina
Invalid Input

Umur
Invalid Input

Kaum
Invalid Input

Captcha(*)
CaptchaInvalid Input