MALAYSIA - BRUNEI PERKUKUH JARINGAN KERJASAMA PERTAHANAN

Brunei, 23 Januari 2019 - Menteri Pertahanan Malaysia, YB Mohamad bin Sabu kini berada di Negara Brunei Darussalam dalam rangka lawatan rasmi selama 2 hari mulai 23 - 24 Januari 2019. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau ke negara-negara jiran semenjak menyandang jawatan sebagai Menteri Pertahanan Malaysia. 

Hari pertama dalam rangka lawatan, Menteri Pertahanan telah menerima Kawalan Kehormatan Utama oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seterusnya beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Kedua Negara Brunei Darussalam, YB Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Md Yussof.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah usaha ke arah memperkukuhkan jaringan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara di peringkat dua hala dan pelbagai hala, selain bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.

Seterusnya, beliau telah melawat ke Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan diberi taklimat mengenai fungsi dan tanggungjawab akademi tersebut sebagai pusat kecemerlangan bagi pegawai-pegawai ABDB. YB Menteri juga berkesempatan menemui Mejar Mohd Syukri bin Kamaruddin TUDM yang merupakan salah seorang penuntut di akademi tersebut.

Turut serta dalam lawatan ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Encik Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas ATM, Letfenan Jeneral Dato' Sheikh Mohsein bin Sheikh Hasan.

Cetak Emel

 
ATM
TDM
TLDM
TUDM

Kementerian Pertahanan Malaysia  

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
MALAYSIA
(60)3-2059 8400
(60)3-2691 1757
portal[at]mod[dot]gov[dot]my
 
 
 

Hak Cipta @ 2018 KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA | Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 11 ke atas, Mozilla Firefox dan Chrome

Kemaskini Terakhir : Jumaat, 23 Ogos 2019.