BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021
Slider

KUALA LUMPUR, 5 April 2021 - Seramai 4,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima manfaat daripada Tabung Bantuan Musa'adah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) khusus kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dalam Operasi PENAWAR dan Operasi BENTENG.

Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM hari ini telah menerima sumbangan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Wisma Perwira ATM sebentar tadi. Majlis penyerahan sumbangan juga turut disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.

Bantuan ini merupakan julung kali diterima oleh pihak ATM bagi menghargai petugas barisan hadapan serta meringankan beban warga ATM dan keluarga sepanjang berhadapan situasi penularan pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Setiap keluarga yang layak akan memperolehi bantuan sebanyak RM100.00 (tunai) dan barang keperluan bernilai RM100.00 menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM800,000.00.

Pihak ATM amat menghargai setiap sumbangan yang diberikan dan diharapkan ia akan dapat meringankan beban warga terlibat sekaligus dapat meningkatkan fokus serta tanggungjawab mereka dalam menggalas amanah menjaga keselamatan dan Pertahanan negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima-Panglima Perkhidmatan dan tetamu kenamaan awam terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malayis (YaPEIM).