BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Sibu, 18 Ogos 2019 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu telah menyempurnakan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) ATM Negeri Sarawak dan Pingat Kedaulatan Negara Peringkat Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Sibu hari ini.

Majlis hari ini menyaksikan seramai 200 orang penerima pingat yang terdiri daripada 156 penerima bagi anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan selebihnya merupakan penerima bagi Pingat Kedaulatan Negara.

Pemberian pingat hari ini adalah bagi menghargai jasa dan bakti yang telah dicurahkan oleh anggota tentera khususnya yang bertugas semasa darurat dan mempertahankan negara semasa Operasi Daulat di Lahad Datu pada tahun 2013, bagi membenteras penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.

Sementara itu, sempena lawatan kerja ini juga, YB Menteri turut mengambil peluang meninjau dan melihat sendiri kerja-kerja senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Rascom di sini.

Bagi tahun ini, Kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta di bawah peruntukan khas RM50 juta yang diterima, untuk melaksanakan 13 projek senggaraan melibatkan 27 unit RKAT Kem Rascom.

Kesemua projek ini telahpun bermula pelaksanaannya dengan status semasa 9 unit siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada pasukan, manakala baki 18 unit lagi masih dalam proses senggaraan dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019.