BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 16 Ogos 2019 - Sesiapa sahaja yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa mengira kaum, dianggap musuh rakyat dan musuh negara, tegas Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu.

Berucap pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Dataran Wisma Pertahanan, hari ini beliau berkata ATM terbuka menerima kritikan, tetapi jangan sehingga menghina.
"Bagi saya, sesiapa sahaja tak kira apa-apa kaum jika menghina anggota tentera, mereka adalah musuh rakyat dan musuh negara".

“Kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan anggota tentera yang sanggup menggadai nyawa mereka jadi marilah sama-sama berdiri teguh di belakang mereka,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas itu, beliau berkata, kementerian menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang menghina ATM.
“Kita tak bercakap pasal maaf, biar polis siasat sebab ada report dah dibuat.” ujarnya.

Terdahulu, YB Menteri telah memasang Jalur Gemilang dan melepaskan 30 buah kenderaan Kementerian Pertahanan & ATM sebagai simbolik kepada acara pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sejajar dengan tema hari Kebangsaan pada tahun ini "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih".

Perhimpunan hari ini melibatkan kira-kira 600 orang warga Kementerian Pertahanan yang terdiri daripada kakitangan awam dan tentera.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi & Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan.