BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 5 Ogos 2019 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong menyempurnakan Majlis Pembukaan Mesyuarat Sub-Committee On Undersea Feature Names (SCUFN) Ke-32 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) hari ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar bin Yahya dan Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Hanafiah bin Hassan.

SCUFN merupakan jawatankuasa yang dibentuk di bawah Jawatankuasa Pemandu kepada Guiding Committee for General Bathymetric Chart of the Oceans (GEBCO). Jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar-pakar bidang hidrografi dan geologi marin daripada dua pertubuhan antarabangsa iaitu International Hydrographic Organisation (IHO) dan Intergovernmental Oceanographic Commission (IOC).

Seramai 35 perwakilan antarabangsa yang merangkumi Ahli Tetap Jawatankuasa dan pemerhati (observer) daripada 12 buah negara yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Argentina, Brazil, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Palau, Republik Rakyat China, Republik Korea, Russia, dan Vietnam hadir pada mesyuarat kali ini.

Agenda utama mesyuarat SCUFN Ke-32 ini adalah untuk membincangkan permohonan penamaan 187 fitur dasar laut yang diterima daripada negara-negara berpantai di seluruh dunia.