BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

KUALA LUMPUR, 1 Ogos 2019 - Keputusan kerajaan membina empat Kapal Misi Pesisir (LMS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di China, tidak memberi kesan negatif terhadap rundingan berkaitan pemindahan teknologi dan kemahiran.

Kontrak perolehan empat LMS antara kerajaan dengan BNS bernilai RM1.048 bilion ditandatangani pada 23 Mac 2017 dan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun hingga 2021. Perancangan asal adalah dua LMS dibina di China, manakala dua lagi di Malaysia tetapi mengambil kira faktor kewangan semasa negara, kerajaan pada Oktober tahun lalu bersetuju supaya kempat-empat kapal terbabit dibina di republik berkenaan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata perkara itu juga tidak memberi impak dari segi kebergantungan Malaysia kepada China.

“China bersetuju melaksanakan program pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada Malaysia menerusi syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan syarikat vendor lain yang terbabit dalam penyelenggaraan, logistik serta baik pulih.

“Perkara ini dapat mendukung keperluan TLDM dalam menyelenggara serta membaik pulih aset strategik negara dan pada masa sama, mengurangkan kebergantungan kita terhadap negara luar,” katanya.