BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

KUALA LUMPUR 20 Mei 2019 - Penubuhan Hospital Medan Malaysia (HMM) bagi pelarian Rohingya di Kem Pelarian Cox's Bazaar, Bangladesh mengharumkan nama Malaysia sebagai negara yang banyak menyumbang kepada pemulihan krisis kemanusiaan di peringkat dunia.

Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong dalam rangka lawatan kerja ke Bangladesh selama empat hari yang berakhir 17 Mei lepas, berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang mengharumkan nama Malaysia melalui usaha kemanusiaan mereka di sini. Menurut beliau, usaha mereka ini menjadi satu platform untuk kerajaan Malaysia membantu kerajaan Bangladesh serta masyarakat antarabangsa dalam menguruskan krisis ini agar ia tidak bertambah buruk sehingga menjadi krisis pelarian untuk seluruh rantau.

Ketika lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri serta delegasi turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Penasihat Pertahanan dan Keselamatan kepada Perdana Menteri Bangladesh Mejar Jeneral Tarique Ahmaed Siddique. Pertemuan itu antara lain membincangkan potensi kerjasama pertahanan Malaysia-Bangladesh, operasi HMM, masalah pekerja Bangladesh di Malaysia serta ekonomi Bangladesh yang pesat membangun.

Lawatan kerja itu turut disertai Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia kepada Bangladesh, Amir Farid Abu Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Md. Amin Muslan dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Kementerian Pertahanan, Akmal Ariff Zainul Ariff.