BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 29 April 2019 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong menyatakan bahawa pelbagai pengisian telah dilaksanakan sejak Januari 2019 dalam usaha membangunkan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

Pengisian ini termasuklah beberapa siri bengkel, dialog dan komentari melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan industri pertahanan sekaligus berjaya mengumpul banyak input dan maklumat penting yang akan dimanfaatkan dalam membangunkan KPP.

Beliau turut menambah, menerusi kaji selidik atas talian yang dijalankan Kementerian Pertahahan bagi mendapatkan pandangan orang awam, idea pembangunan KPP secara umumnya mendapat sokongan rakyat Malaysia.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, beliau menjelaskan bahawa penganjuran pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA) menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan sejak dianjurkan bermula tahun 1991.

Beliau memberi contoh bilangan penyertaan pempamer meningkat kepada 406 pempamer dari 36 buah negara semasa LIMA 2019 berbanding 99 pempamer tempatan dan antarabangsa dari 15 buah negara pada penganjuran LIMA yang pertama. Kata beliau lagi, peningkatan penyertaan pesawat dan aset maritim juga dapat dilihat setiap kali LIMA dianjurkan.

YB Liew mengutarakan tentang KPP dan LIMA ini bagi menjawab pertanyaan Yang Berhormat Senator Datuk Paul Igai dan Yang Berhormat Senator Laksamana Pertama Haji Mohamad Imran bin Abdul Hamid (Bersara) ketika menggulung Titah Diraja di Dewan Negara, semalam.