BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Lumut, 22 April 2019 – Hari Bersama Pelanggan 2019 (HBP19) berlangsung meriah sepanjang 2 hari penganjurannya di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut daripada 20 hingga 21 April 2019.

Sejak dari hari pertama lagi, para pengunjung yang rata-ratanya hadir bersama keluarga amat teruja untuk melihat secara lebih dekat aset-aset milik TLDM yang dipamerkan bersempena Hari Terbuka Armada 2019 yang turut berlangsung serentak dengan HBP19 ini.

Serentak itu, mereka juga tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi booth-booth pameran yang dibuka oleh pelbagai agensi termasuklah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) serta Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS).

HBP19 merupakan program anjuran Unit Komunikasi Strategik, Kementerian Pertahanan yang diadakan bertujuan memberi pendedahan secara terus kepada pelanggan mengenai peranan Kementerian Pertahanan dan perkhidmatan yang ditawarkan serta menyelesaikan masalah pelanggan secara bersemuka.