BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

LANGKAWI, 26 Mac 2019 - YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir bin Mohamad menyempurnakan upacara Majlis Pembukaan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19)

yang penuh gilang gemilang bertempat di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC) pagi ini.

Beliau yang juga pencetus penganjurannya LIMA pada tahun 1991 berkata Malaysia mahu menjadi peneraju bidang aeroangkasa di Asia Tenggara dan meraih bahagian penting pasaran peringkat global. Katanya tahun lalu saja, negara ini mengeksport peralatan dan alat ganti pesawat bernilai RM8.48 bilion ke Amerika Syarikat, Singapura, United Kingdom, China dan Perancis dimana jumlah itu meningkat 20.7 peratus berbanding 2017.

Pada majlis ini juga, Perdana Menteri turut menyaksikan Opening Gambit and Aerial Display oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu enam (6) kali pesawat SU-30MKM, empat (4) kali pesawat F/A - 18D, enam (6) pesawat HAWK 108/208, tiga (3) kali pesawat A400, lapan (8) kali pesawat PC 7 MKII, tiga (3) kali pesawat EC-725 dan dua (2) kali helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri.

Antara penglibatan lain dalam pertunjukan udara ialah pesawat Tejas milik Tentera Udara India, pesawat KT-1B Woong Bee dari Jupiter milik Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara dan pesawat SU-30SM dari Russian Knights milik Tentera Udara Rusia sempena Pameran LIMA ‘19 yang akan berlangsung mulai 26 hingga 30 Mac 2019.

Turut hadir semasa majlis pembukaan ini adalah Ketua Setiausaha Negara; YBhg. Datuk Seri Dr Ismail bin Hj Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; YBhg. Dato’ Halimi bin Abd Manaf, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; YBhg. Datuk Mohd Khairul Adib bin Abdul Rahman, Panglima Angkatan Tentera; YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin, Ketua Polis Negara; YDH Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi bin Harun, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dan Perwakilan Luar Negara.