BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Sungai Buloh, 30 Jun 2019 - Koperasi Tentera (KT) hari ini mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10 peratus bersamaan RM145 juta kepada 154,620 ahlinya. Pembayaran dividen itu adalah berdasarkan keuntungan sebelum cukai dan zakat Koperasi Tentera sebanyak RM184.3 juta, hasil daripada pendapatan bersih operasi bagi tahun kewangan 2018 berjumlah RM313.5 juta.

Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu, berkata pemberian dividen itu jelas membuktikan Koperasi Tentera masih mampu memberikan pulangan tinggi secara konsisten kepada anggotanya biar pun berdepan dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-54 di Dewan PERHEBAT, Kem Sungai Buloh sebentar tadi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Koperasi Tentera turut melancarkan perkhidmatan dalam talian dan aplikasi perbankan mudah alih (KTOnline). Aplikasi mesra pelanggan itu dibangunkan dengan objektif utama untuk memudahkan urusan anggota yang berada jauh dari cawangan atau bandar disamping menyediakan pengalaman lebih baik kepada semua anggotanya.

Turut berlangsung, penyampaian anugerah koperasi kepada 26 orang penerima dari beberapa kategori iaitu Anugerah Anggota Terlama, Skim Insentif Kecemerlangan dan Skim Bantuan Perubatan.

Hadir sama pada majlis tersebut, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM Merangkap Naib Yang Dipertua Koperasi Tentera, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar bin Yahya, Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral Dato’ Zulkiflee Bin Mazlan (Bersara) serta pegawai-pegawai kanan ATM dan Kementerian Pertahanan.