BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 28 Februari 2019 - Kementerian Pertahanan dan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) bercadang memberi elaun kepada lebih 70,000 penerima dan bakal penerima anugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu berkata, perkara itu sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan ke-2 di Kementerian Pertahanan hari ini.

“Pertimbangan yang dibuat adalah berlandaskan dasar sedia ada serta mengambil kira cabaran masa kini serta masalah yang dihadapi veteran ATM. Bagaimanapun, menurut beliau perkara ini masih lagi dalam peringkat perbincangan sebelum dimuktamadkan untuk dilaksanakan segera.

Beliau berkata, pada masa ini pemberian elaun itu terkandung dalam empat kertas kerja yang mengandungi inisiatif bagi tujuan membantu serta menjaga kebajikan veteran ATM sebagai fokus utama. Pingat Jasa Malaysia (PJM) diberikan kepada semua pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat sejak 1969 hingga 1990 serta turut terbabit dalam menentang pengganas komunis. Setakat ini 25,804 veteran ATM dianugerahkan PJM manakala veteran yang layak dan belum dianugerahkan PJM berjumlah 44,196.

Hadir bersama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; YBhg Dato’ Halimi bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM; Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad dan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota; Mejar Jeneral Dato’ Haji Azlan bin Abd Rahman.