BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 25 Februari 2019 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu telah menyempurnakan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) Tahun 2019 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, hari ini.

Bagi menghargai sumbangan dan penghargaan kepada warganya, Kementerian Pertahanan dan ATM telah menganugerahkan APC dan Pingat PPT tahun 2018 kepada 849 warga awam, 9,585 warga ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan 280 orang pesara menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 10,714 orang.

Penerima APC akan diberikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai atau Sijil Simpanan Premium BSN yang bernilai RM 1,000.00 manakala bagi Pesara awam yang bersara wajib akan menerima Pingat PPT, Sijil Penghargaan serta Sijil Simpanan Premium BSN berjumlah RM 400.00 dan bagi Pesara Awam yang bersara pilihan hanya akan menerima Sijil Penghargaan dan Sijil Simpanan Premium bernilai RM 400.00.

Terdahulu, dalam ucapan YB Menteri menegaskan bahawa penganugerahan yang diberikan ini menunjukkn bahawa setiap pengorbanan dan sumbangan telah mereka berikan semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam sentiasa dihargai dan tidak pernah dilupakan oleh kerajaan, khususnya Kementerian Pertahanan. Menurut beliau lagi, penjawat awam merupakan agen perantaraan di antara rakyat dan kerajaan, oleh itu mereka perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Halimi bin Abd Manaf, Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta warga Kementerian Pertahanan dan ATM.