BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 21 Februari 2018 - Kementerian Pertahanan mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad bagi rangka lawatan rasmi beliau ke Kementerian Pertahanan hari ini.

Lebih membanggakan ini merupakan lawatan kali pertama beliau ke Kementerian Pertahanan semenjak menerajui tampuk kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei 2018.

Lawatan ini adalah atas jemputan Menteri Pertahanan, YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu. Selain Menteri Pertahanan, ketibaan YAB Perdana Menteri turut disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Halimi bin Abd Manaf; Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin serta pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Pada sesi lawatan, beliau telah diberikan taklimat oleh YB Menteri Pertahanan, mengenai bidang fokus utama Kementerian Pertahanan bagi tahun 2019 yang merangkumi Kertas Putih Pertahanan, Kebajikan anggota ATM, Kesiagaan ATM dan Veteran ATM.

Di dalam ucapannya, YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad menegaskan bahawa Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks. Ancaman berlaku pada setiap masa kerana maklumat pada era globalisasi ini bergerak pantas & melampaui sempadan.

Katanya lagi, Kementerian Pertahanan sedang menyediakan satu Kertas Putih Pertahanan yang menggariskan prinsip dan strategi pertahanan serta pelan pembangunan keupayaan terkini Angkatan Tentera Malaysia. Ia penting bagi memastikan dasar pertahanan negara dapat menangani cabaran semasa dan akan datang. Kertas putih ini akan berperanan memaklumkan kepada parlimen dan rakyat berhubung cabaran semasa Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, beliau telah mengambil tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diiringi Pancaragam Pusat RAMD di Dataran Wisma Pertahanan.