BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2019 - Menteri Pertahanan, YB Haji Mohamad bin Sabu mengalu-alukan kedatangan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Rusia, Nikolai P. Patrushev dan menerima Kunjungan Hormat dalam Lawatan Rasmi selama dua hari

bermula 27 hingga 28 Ogos 2019. YB Haji Mohamad bin Sabu juga turut mempengerusikan Mesyuarat Dua Hala bersama Nikolai P. Patrushev di Kementerian Pertahanan semalam. Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Pertahanan turut disertai oleh wakil Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Kedua-dua pengerusi bersama mesyuarat tersebut berkongsi pendapat dan saling bertukar pandangan dalam pelbagai bidang melibatkan hubungan dua hala termasuk isu cabaran keselamatan, kerjasama pertahanan, memerangi pengedaran dadah, keselamatan siber serta menangani jenayah terancang dan ekstremisme. Kedua-dua pemimpin turut menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama terutama dalam perkongsian maklumat bagi mengekang keganasan antarabangsa.


Menteri Pertahanan juga mengulangi hasrat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama industri pertahanan melalui perkongsian pintar, usahasama dan pakatan perniagaan strategik antara syarikat pertahanan Malaysia dan Rusia. Selain itu, beliau turut menekankan mengenai sokongan Malaysia mengenai kerjasama masa hadapan bersama Rusia dalam bidang keselamatan siber.

Dalam mesyuarat berkenaan, kedua-dua mereka berpuas hati dengan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh negara masing-masing. Kedatangan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Rusia dan delegasinya ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan kerjasama dan mengekalkan jalinan erat hubungan sedia ada kedua-dua negara.