BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Putrajaya, 31 Ogos 2019- Hari Kebangsaan ke-62 telah disambut begitu meriah dengan perarakan, perbarisan dan pertunjukan udara yang terdiri daripada Pasukan Udara Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia,

Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Bomba Dan Penyelamat Malaysia. Dengan tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, sambutan hari penuh bermakna ini telah dijayakan oleh para pelajar, anggota keselamatan dan pertahanan, penjawat awam serta sektor swasta.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Dataran Putrajaya di mana acara dimulakan dengan nyanyian lagu keramat Negaraku diringi acara menaikkan Jalur Gemilang.

Turut menarik perhatian adalah penglibatan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar apabila mengetuai sendiri perarakan Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam yang membabitkan pasukan unit berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 itu ialah YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet termasuk YB Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tuan Gobind Singh Deo serta perwakilan asing.