BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

PUTRAJAYA, 12 Sept 2019 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah

dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah bercemar duli ke Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda ke Istiadat Mengarak Panji-Panji dimulakan dengan perbarisan mempersembahkan Hormat Diraja Negaraku diikuti 21 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja diketuai Leftenan Kolonel Mohd Asri Che Wil.

Sebanyak lima buah pesawat terlibat membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa membawa Jalur Gemilang, Bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diketuai oleh Mejar Abdul Khalid bin Zainal Abidin TUDM dari No. 10 Skuadron TUDM.

Lima panji yang diarak adalah Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Ahmad Muzaimi bin Haji Mohd Ali, Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja.

Istiadat itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri , YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad serta isteri, YABhg Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali; YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertahanan; YB Senator Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan; YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin, Panglima Angkatan Tentera; YBhg Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Setiausaha Kementerian Pertahanan; Panglima-panglima Perkhidmatan, Pihak Pengurusan Tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan.