BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 19 Sept 2019 - Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2019 akan mencapai RM6 juta. Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu, berkata pihaknya sudah merangka pelbagai program termasuk Majlis Makan Malam Amal (Oktober 2019)

, Larian Amal Veteran ATM dan 'flashmob' bagi memastikan sasaran dapat dicapai.

Beliau berkata sumbangan tabung berkenaan akan digunakan sepenuhnya bagi menjaga kebajikan veteran dan ahli keluarga secara menyeluruh terutama veteran kelainan upaya (VKU), balu veteran, mereka yang terbabit dengan musibah kebakaran dan bencana alam.
"Justeru, saya menyeru kepada semua warga Malaysia yang prihatin supaya dapat menghulur sumbangan ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita nikmati pada masa ini.

"Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan, namun ia adalah lambang kita menghargai anggota tentera yang banyak berkorban dan berjasa. Budi yang digalang ganti dengan darah, keringat dan air mata oleh pahlawan serta keluarga mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Pahlawan 2019 yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Penaung tabung berkenaan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.