BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 4 November 2019 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Integriti 2019 dan pelancaran Buku Polisi Antirasuah Peringkat Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan sebentar tadi.

Seperti lazimnya, Bulan Integriti disambut pada November setiap tahun dan tahun ini Kementerian Pertahanan mengangkat tema “Integriti Teras Pertahanan Negara” bagi menjelaskan betapa pentingnya integriti, dalam menjamin keutuhan sesebuah negara.

Pelancaran Buku Polisi Antirasuah hari ini juga antara lain menzahirkan komitmen setiap Anggota Pentadbiran dan Pengurusan Tertinggi di kementerian ini untuk menolak rasuah. Kementerian juga telah membangunkan beberapa lagi polisi iaitu Polisi Larangan Penerimaan dan Pemberian Hadiah, Polisi Pemberian Maklumat dan Polisi Percanggahan Kepentingan.

Pada ketika ini, pihak kementerian sedang dalam usaha menyediakan Pelan Antirasuah MINDEF bagi tujuan memastikan Kementerian ini bebas daripada risiko rasuah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pengurusan Tertinggi Mindef dan warga kementerian.