BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Lumut, 7 November 2019 - Menteri Pertahanan Malaysia, YB Tuan Hj. Mohamad bin Sabu meluangkan masa untuk menyaksikan beberapa latihan ketenteraan sempena hari terakhir pelaksanaan Eksesais Pahlawan 2019, hari ini.

Beliau yang turut diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Seri Hj. Zulkifli bin Hj. Zainal Abidin serta Panglima-Panglima Perkhidmatan berkesempatan menyaksikan kesiagaan ATM dalam latihan operasi udara, operasi menyeberangi sungai dan penembakan dari Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB).
Eksesais PAHLAWAN 16/2019 yang menggabungkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan kali ini menyaksikan pembaharuan berbanding siri latihan sebelum ini di mana hampir kesemua elemen dan aset pertahanan negara diaturgerak dan diuji. Eksesais yang dilaksanakan setiap empat tahun sekali ini juga bertujuan untuk menilai keupayaan dan kecekapan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM. Pelaksanaan eksesais ini sejajar dengan hasrat ATM untuk tahun 2019 sebagai Tahun Ketumbukan Bersama (The Year of Joint).

Eksesais ini juga menyaksikan buat julung kalinya penglibatan Joint Regional Command North (JRCN) yang diterajui oleh Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM. Penglibatan JRCN ini adalah selari dengan hasrat dan halatuju ATM untuk membentuk Pemerintahan Wilayah Bersama mengikut wilayah yang diharap dapat direalisasikan bagi pembangunan dan pemodenan ATM pada masa hadapan.