BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 14 November 2019 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu, telah menerima kunjungan daripada TYT H. Prabowo Subianto, Menteri Pertahanan Republik Indonesia sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia pada 14-15 November 2019.

Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama ke luar negara oleh TYT H. Prabowo Subianto selepas dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 23 Oktober 2019.

Sempena lawatan rasmi ini, YB Menteri telah mengadakan perbincangan dua hala dengan TYT H. Prabowo Subianto dengan kedua-dua pihak mengesahkan komitmen untuk terus mempertingkatkan kerjasama pertahanan sedia ada bagi kepentingan bersama dalam mencapai keharmonian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua Menteri turut bertukar pandangan mengenai isu yang mempunyai kepentingan strategik dan operasi bagi kedua-dua negara. Landskap keselamatan global yang dinamik turut disentuh oleh kedua-dua Menteri dan ancaman keselamatan bukan tradisional khususnya ancaman keganasan menjadi fokus utama bagi kedua-dua pihak.

YB Menteri dan TYT H. Prabowo Subianto memperakui bahawa lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan pertahanan dua hala yang erat dan dinamik antara kedua-dua negara. Lawatan rasmi ini juga turut mengesahkan komitmen Indonesia kepada Malaysia sebagai rakan pertahanan utama di rantau ini.

Terlebih dahulu, sebaik tiba di Perkarangan Wisma Pertahanan, TYT H. Prabowo Subianto, telah menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 anggota diketuai oleh Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Hadir sama, YB Senator Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin, Panglima Angkatan Tentera, Panglima-Panglima Perkhidmatan serta para Pegawai Kanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia.

#MinDefMalaysia