BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

BANGKOK, 17 November 2019 – Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu kini berada di Bangkok untuk menghadiri Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM+ ke-6 bermula dari 17 hingga 18 November 2019.

Sempena dengan mesyuarat tersebut, beliau telah mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat termasuk dari New Zealand, Ron Mark. Mereka telah membincangkan pelbagai isu termasuk usaha untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan. Menurut beliau, Malaysia dan New Zealand menyatakan komitmen dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala terutama mengenai Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

YB Menteri kemudiannya bertemu rakan sejawat dari China, Wei Fenghe dan semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mengukuhkan hubungan pertahanan dua hala, khususnya untuk mengadakan lebih banyak kerjasama pertahanan praktikal.

Terdahulu, YB Menteri dan rakan-rakan sejawat ASEAN yang lain menghadiri mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-China dan antara isu-isu yang dibincangkan termasuk pertikaian Laut China Selatan dan latihan maritim.

Beliau juga menghadiri mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun yang dihoskan oleh Thailand dan Jepun. Ketika mesyuarat tersebut, beliau telah menyampaikan pandangan Malaysia mengenai pelaksanaan Wawasan Vientiane - Inisiatif Kerjasama Inisiatif Pertahanan Jepun dengan ASEAN mengenai keselamatan maritim, Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dan Keselamatan Siber dan kerjasama pertahanan masa depan Jepun-ASEAN.

Beliau turut menghadiri mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Amerika Syarikat yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan dan Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper. Mesyuarat membincangkan kerjasama dan perkongsian maklumat termasuk keselamatan maritim, menangani keganasan dan Semenanjung Korea.