BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 18 November 2019 - Kabinet bercadang untuk melanjutkan operasi Hospital Medan Malaysia di wilayah Ukhia, Cox's Bazar, Bangladesh sehingga selewat-lewatnya Disember 2021, iaitu lanjutan maksimum dua tahun.

Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong berkata walaupun saiz pengoperasiannya masih kekal sebanyak 50 katil, bermula tahun hadapan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapat khidmat tenaga kerja perubatan.

“Hospital atau bahagian kesihatan ATM kita mengalami masalah kekurangan doktor, jadi kita perlukan bantuan daripada Kementerian Kesihatan untuk meneruskan operasi kita tahun hadapan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai saiz pengoperasian hospital medan di Cox's Bazar bagi lanjutan operasi bantuan kemanusiaan pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Hospital medan Malaysia di kem pelarian di Cox Bazar, Bangladesh, diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan mendapatkan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.

Sebelum ini, kerajaan bercadang untuk melaksanakan operasi di hospital itu sehingga Disember tahun ini.

Menurut beliau, khidmat hospital Malaysia di Cox’s Bazar menjadi medan latihan bagi meningkatkan kesiapsiagaan ATM dalam menghadapi bantuan kemanusiaan dan kesihatan.

“Hospital Medan Malaysia bukan sahaja memberikan bantuan perubatan dan kesihatan kepada pelarian Rohingya tetapi turut memberikan khidmatnya kepada penduduk setempat,” katanya.

Sehingga kini, 81,698 kes telah dirawat di hospital itu.