BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Kuala Lumpur, 4 Disember 2019 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan Dan Staf Malaysia (KPSM) Siri 48/2019 di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan pada hari ini.

Pada majlis graduasi ini, seramai 165 penuntut terdiri daripada 99 orang TDM, 33 orang daripada TLDM dan TUDM telah berjaya menamatkan kursus selama tiga semester yang mengambil masa hampir setahun pengajian. Para graduan ini akan menerima Sijil psc (Passed Staff College) dan Diploma Pascasiswazah Kajian Strategik dan Pertahanan.

Mejar Kamarul Bahrin bin Razali RRD telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Lembaga MTAT (Peserta Terbaik Keseluruhan KPSM Siri 48/2019) diikuti dengan tiga lagi penerima anugerah iaitu Anugerah UPNM (Modul Akademik), Lt Kdr Melvinderjit Singh Walia TLDM, Anugerah Komandan (Kertas Komandan), Mejar Abang Raduan bin Abang Madihi TUDM dan Anugerah Haigate (Modul Ketenteraan) Mejar Mohammad Firdaus bin Saad RAMD.

Untuk pengetahuan, KPSM merupakan kursus yang ditawarkan kepada pegawai-pegawai yang berpangkat Mejar/Leftenan Komander setaraf yang terpilih untuk menjawat jawatan Pemerintah dan Staf di dalam Perkhidmatan bersama. Ia bertujuan untuk melatih pegawai untuk menganalisa isu-isu penting berkaitan strategi dan pertahanan di peringkat nasional, serantau dan global, mentafsir faktor-faktor dan konsep dalam struktur pembangunan ketenteraan, melaksanakan tugas sebagai Pegawai Staf dan Pemerintah dalam kebersamaan di peringkat operasi dan strategik Pertahanan serta menyelesaikan segala permasalahan dalam pelbagai situasi.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin buang (TUDM), Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Dato Haji Abdul Halim bin Haji Jalal, Komandan MTAT, Brigadier Jeneral Dato Mohd Sofi bin Md Lepi, Pegawai-Pegawai Kanan ATM serta ahli keluarga penuntut kursus.