BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Taiping, 13 Jun 2019 – Seramai 500 Veteran ATM telah dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam satu Majlis Penyampaian PJM Peringkat Negeri Perak yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Senator Liew Chin Tong semalam.

Penganugerahan PJM ini merupakan salah satu bentuk pengiktirafan terhadap jasa dan bakti yang dicurahkan oleh mereka dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan tanah air tercinta selama ini.

Setakat ini, seramai 26,609 veteran ATM dari seluruh negara telah dianugerahkan pingat berkenaan.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Kamarulzaman bin Othman TUDM, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Encik Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad.

Dalam pada itu, bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan veteran ATM sentiasa terpelihara, Kementerian Pertahanan telah memfokuskan kepada dua usaha utama iaitu membuka peluang kerjaya kedua kepada veteran muda dengan kerjasama agensi kerajaan dan sektor swasta serta menambahbaik bantuan kebajikan kepada veteran dan tanggungan yang layak.