BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 2 Januari 2020 – Secara rasminya Panglima Angkatan Tentera Malaysia Ke-20, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Ts. Haji Zulkifli bin Haji Zainal Abidin telah menyerahkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang merupakan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini.

Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera ini telah disaksikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia.
Perlantikan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-21 merupakan Panglima Tentera Udara (PTU) yang kedua dilantik sebagai Panglima ATM selepas Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM yang memegang jawatan sebagai Panglima ATM Ke-17 pada 1 Sep 2009 hingga 14 Jun 2011. Ini juga menyaksikan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi merupakan anak jati Sarawak pertama yang dilantik menerajui kepimpinan tertinggi dalam organisasi ATM.

Pada majlis ini juga beliau telah dihargai dalam acara send-off di mana para pegawai dan anggota ATM berbaris mulai ruang legar bangunan Wisma Pertahanan hingga ke balai pengawal utama untuk mengiringi serta bersalaman sebagai tanda akhir mengucapkan selamat bersara kepada beliau yang telah 4 dekad menabur bakti kepada Negara.
Turut hadir ke Majlis Serah Tugas ini ialah Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara; YB Senator Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertahanan; Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi, Panglima Tentera Darat; Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut dan Leftenan Jeneral Datuk Kamalruzaman bin Mohd Othman TUDM, Ketua Staf Markas ATM.