BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 6 Januari 2020 - Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu telah menyampaikan Amanat Menteri Pertahanan 2020 bertempat di Wisma Perwira ATM hari ini. 

Majlis ini telah dihadiri lebih 500 orang warga Kementerian terdiri daripada kakitangan awam dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam ucapannya, YB Menteri telah menggariskan beberapa fokus sebagai hala tuju 2020 bagi Kementerian Pertahanan.
Di antaranya termasuk Isu-isu Keselamatan, Kertas Putih Pertahanan (KPP), Hubungan Pertahanan Antarabangsa dan Pembangunan Keupayaan ATM serta Kebajikan Kakitangan Awam, Anggota dan Veteran ATM.

Kementerian menyiapkan dan membentangkan KPP buat kali pertama seumpamanya di parlimen Malaysia. Menurut beliau, penerbitan KPP bukan satu pengakhiran, tetapi satu permulaan kepada lebih banyak tindakan yang perlu dilaksanakan oleh Mindef dan ATM bersama-sama keseluruhan kerajaan dan segenap rakyat.

Tambahnya lagi, Mindef akan mengadakan sesi penerangan ke seluruh negara secara berperingkat supaya kandungan KPP dapat diselami dan difahami di semua peringkat masyarakat termasuk di peringkat pentadbiran negeri, sektor swasta hinggalah rakyat setempat agar KPP mendapat sokongan dan melancarkan perlaksanaannya yang akan berlangsung dalam tempoh 10 tahun.

YB Menteri turut menyeru semua pihak dari pelbagai bidang dan kemahiran sama ada dari ATM atau awam untuk turut bersama-sama menjayakan amanah ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, YB Senator Liew Chin Tong, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha serta pegawai-pegawai kanan Kementerian yang lain.