BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

SUNGAI BESI, 2 Januari 2020 - Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Ke-20, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Ts. Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah diadakan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Perbarisan ini melibatkan kontinjen daripada ketiga-tiga perkhidmatan Darat, Laut dan Udara yang terdiri daripada 17 pegawai dan 462 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Khairul Azman bin Kormin.

Perbarisan Penghargaan ini adalah merupakan suatu tanda penghormatan tertinggi kepada beliau atas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama 4 dekad sebelum menamatkan perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Jeneral Tan Sri Dato' Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-20 bermula pada 20 Jun 2018 yang lalu.

Turut hadir menyaksikan perbarisan ini adalah panglima-panglima perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan anggota ATM yang lain.

Pucuk pimpinan dan seluruh peringkat warga TUDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas beliau di atas segala jasa dan bakti yang telah ditabur sepanjang pimpinan beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-20.

Selamat Maju Jaya dan Selamat Bersara.