BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 15 Januari 2020 – Bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menyampaikan perutusan perintah ulung beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-21

sejak memegang jawatan tersebut pada 2 Januari lalu. Di dalam perintah ulung berkenaan beliau telah menekankan empat (4) teras sebagai menyokong visi pembentukan Kertas Putih Pertahanan (KPP) iaitu menjadikan “Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur”.

Dalam menjayakan teras yang digariskan, beliau telah menekankan agar segala doktrin dan dokumen berkaitan ATM perlu selari dengan KPP terutama dalam Pelan Pembangunan Strategik Angkatan Tentera Malaysia yang dikenali sebagai 4th Dimension Malaysian Armed Forces atau 4D MAF. Ini adalah perlu agar ATM tidak ketinggalan dalam pembangunan pertahanan serta peningkatan keupayaan.

Empat teras yang menjadi keutamaan dalam perintah ulung tersebut adalah “Memperkasakan Kesiagaan Aset Angkatan Tentera Malaysia” sebagai teras pertama. “Memperkasa Warga Angkatan Tentera Malaysia Yang Cemerlang” sebagai teras kedua. Manakala teras ketiga adalah “Mengukuhkan Keupayaan Angkatan Tentera Malaysia dalam Domain Siber” dan terakhir adalah “Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan”.

Justeru itu juga, pelan keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan ATM yang lain iaitu Pelan ARMY For Next Generation atau Army 4 Next G dalam Tentera Darat, Pelan TLDM 15 to 5 atau RMN 15 to 5 bagi Tentera Laut dan Perancangan Capability 2055 atau #CAP55 bagi TUDM perlu diselaraskan oleh setiap perkhidmatan. Kajian menyeluruh perlu dilaksanakan sewajarnya kepada polisi dan pelan sedia ada agar ianya dapat dimangkinkan oleh KPP berkenaan.