BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

JAKARTA, 24 JANUARI 2020 - Malaysia dan Indonesia masing-masing menyatakan keyakinan terhadap pelaksanaan yang efektif melalui Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) antara Indonesia, Malaysia dan Filipina dalam menangani ancaman keselamatan maritim di perairan ketiga-tiga negara.

Keyakinan itu dizahirkan pada pertemuan Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu, dengan rakan sejawat, TYT H. Prabowo Subianto, Menteri Pertahanan Republik Indonesia ketika mengadakan lawatan rasmi ke republik itu pada 24 Januari lalu yang turut menyentuh mengenai insiden penculikan yang melibatkan lima nelayan Indonesia di perairan Tambisan, Sabah.

YB Mohamad juga memberi penekanan terhadap kesungguhan dan komitmen Malaysia terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga perairan negara.

Kedua-dua menteri bersetuju untuk bertemu dengan Setiausaha Pertahanan Nasional Filipina, TYT Delfin Lorenzana, ketika Retreat Menteri Pertahanan Menteri-Menteri ASEAN (ADMM) pada Februari 2020 akan datang untuk membincangkan lebih lanjut bagi meningkatkan TCA.

Hubungan pertahanan antara Malaysia dan Indonesia telah menyaksikan kemajuan yang sangat baik di bawah General Border Committee (GBC) yang ditubuhkan pada tahun 1972, terutama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia (TNI). Hubungan pertahanan juga telah diperkuatkan melalui inisiatif sub-serantau iaitu Malacca Straits Patrol (MSP) dan TCA bersama Filipina.