BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 30 Januari 2020 - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meletakkan asetnya dalam keadaan bersiap-sedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas sekitar Wilayah Hubei, China, terutamanya di bandar raya Wuhan yang kini dikenakan perintah berkurung akibat penularan coronavirus, 2019-nCoV.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM,, berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini hanya menunggu arahan sekiranya diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, sebarang tindakan hanya bakal diputuskan apabila kerajaan mendapat kebenaran untuk menerbangkan pesawat negara ini ke Wilayah Hubei dan bandar raya Wuhan, sekaligus membawa pulang rakyat Malaysia.

Katanya, antara faktor utama penggunaan pesawat TUDM adalah berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang masih terkandas di Wuhan serta lokasi mereka akan mendarat untuk mengisi bahan api.

Ketika ini, seramai 78 rakyat Malaysia termasuk golongan profesional, penuntut universiti dan krew penerbangan Malindo Air dilaporkan terkandas di sekitar Wilayah Hubei dan Wuhan.