BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Pengurusan Tertinggi TLDM memandang serius terhadap isu penularan Koronavirus (2019-nCoV) yang sedang berlaku di negara China.

Sebagaimana sedia maklum, Kerajaan Malaysia telah menandatangani Kontrak Perolehan 4 buah LMS dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 17 melibatkan kesemua 4 buah kapal dibina di Wuhan, China.

Bagi tujuan pemantauan projek pembinaan kapal di Wuhan, TLDM telah menubuhkan Pasukan Projek LMS TLDM (PPLMS TLDM) sejak 8 Jul 17 yang dianggotai seramai 12 orang terdiri daripada Pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat. Di samping itu, TLDM juga telah menghantar 45 orang Bakal Warga Kapal LMS Kedua (SUNDANG) sejak 5 Nov 19 ke Qidong, Shanghai bagi mengikuti latihan penyesuaian dan seterusnya membawa pulang SUNDANG ke Malaysia pada pertengahan April 2020. Justeru, jumlah warga TLDM yang terlibat secara terus dengan projek ini adalah seramai 57 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 42 orang telah pulang ke Malaysia susulan cuti perayaan Tahun Baharu Cina sejak 17 Jan 20 manakala baki 15 orang lagi masih berada di Qidong, Shanghai. TLDM sentiasa berhubung dengan warga dan memantau perkembangan terkini di China. Sehingga kini, tiada sebarang kes jangkitan Koronavirus (2019-nCoV) yang melibatkan warga TLDM. Walau bagaimanapun sebagai langkah keselamatan TLDM sedang menguruskan pergerakan pulang 15 anggota ini ke Malaysia dalam masa terdekat.

Pemantauan rapi sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa dan TLDM amat prihatin terhadap kebajikan warga khususnya dari segi aspek kesihatan. Diharapkan tiada sebarang penyebaran maklumat yang tidak sah atau palsu disalurkan berkenaan Koronavirus yang melibatkan projek LMS sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam.