BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2019
Slider

Melaka, 18 Julai 2019 - Kementerian Pertahanan kini menunggu kelulusan cadangan Memorandum Elaun Kenangan kepada kira-kira 70,000 penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada Kementerian Kewangan (MOF).

Menterinya, YB Mohamad Sabu berkata, cadangan sudah dihantar kepada MOF, bagaimanapun ia bergantung kepada Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti. Menurutnya, pihaknya juga sudah menghantar memorandum cadangan itu kepada Majlis Jemaah Menteri untuk dibentangkan dalam masa terdekat.

Katanya lagi, sekiranya cadangan itu mendapatkan kelulusan kerajaan, pemberian elaun tersebut dapat membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi penerima pingat berkenaan yang telah berjasa dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penganugerahan PJM kepada 507 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Melaka/Negeri Sembilan di Ayer Keroh, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pertahanan, Dr. Karminder Singh Dhillon; Ketua Staf Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zakaria Yadi dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.