BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 24 Februari 2020 - Ketua Setiausaha, Datuk Muez bin Abd Aziz telah menyempurnakan majlis penutup Perwira Dialog 2020 bertempat di Wisma Perwira ATM hari ini.

Dialog ini bertujuan untuk memudahkan para cendekiawan dan perunding pakar yang turut dijemput untuk berkongsi penilaian masing-masing serta bertukar pendapat mengenai KPP 2020 termasuklah perkongsian berwibawa dan keupayaan serantau sebagai idea utama. Hal ini termasuklah 3 Tonggak Utama dalam Strategi Pertahanan Malaysia, kedudukannya sebagai sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan, dan visi sebagai gerbang penjalin di antara Asia-Pasifik dan Lautan Hindi, masing-masing mempunyai matlamat untuk menyumbang kepada pertahanan negara, centrality ASEAN, kestabilan serantau, serta keselamatan dan kemakmuran bersama. Di samping menjadi medan pertemuan melibatkan bahagian pertahanan dan pemegang taruh, dialog ini dijangka akan menjana pelbagai pandangan mengenai pemikiran dasar dan penilaian terhadap pelbagai cabaran dan peluang dalam melaksanakan KPP.

Terlebih dahulu, ucapan pembukaan telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan dan Pertahanan Malaysia (MiDAS), Encik Noor Hisham bin Rosle dan ucaptama telah disampaikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.

Dialog ini telah berlangsung selama setengah hari dan disertai oleh seramai lebih 200 orang tetamu termasuk wakil daripada Kementerian Pertahanan, Kumpulan Pemikir Tempatan dan Serantau, Pemegang Taruh Keselamatan dan Nasional, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Institut Tinggi dan Kedutaan Besar tempatan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, Panglima-panglima Perkhidmatan, serta Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan.