BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

Kuala Lumpur, 5 MAC 2020 – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2020 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur pada 20 hingga 23 April 2020 ini, ditunda ke tarikh 24 hingga 27 Ogos 2020.

Keputusan ini terpaksa diambil setelah perbincangan dan pertimbangan yang teliti dibuat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, dan pihak
berkepentingan berikutan kebimbangan COVID-19 yang mengakibatkan gangguan perjalanan antarabangsa dan situasi lain.

Sementara itu, Pengerusi DSA Exhibition & Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin yang merupakan penganjur utama kedua-dua pameran ini menyatakan bahawa keputusan penundaan acara ini disokong sebulat suara, walaupun hanya tinggal dua bulan dari tarikh asal pameran ini sepatutnya berlangsung.

“Dengan jangkaan 1,500 syarikat mengambil bahagian daripada 60 buah negara, melibatkan 350 delegasi kenamaan, 50,000 pelawat daripada seluruh pelusuk dunia, keputusan menangguhkan acara ini adalah keputusan yang terbaik. Kami ingin memastikan suasana pameran yang kondusif untuk para peserta, pihak pempamer dan pelawat semasa acara berlangsung.

DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020 dihoskan, disokong dan dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri. Untuk keterangan lanjut berhubung DSA 2020 dan NATSEC Asia 2020, sila lawati laman sesawang www.dsaexhibition.com