BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 13 Mac 2020 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob memaklumkan penugasan anggota ATM di dalam dan luar negara berjalan seperti biasa namun langkah pencegahan telah dipertingkat berikutan penularan wabak COVID-19 yang dikategorikan pandemik pada masa kini.

Menurutnya, setakat hari ini tiada anggota dan pegawai tentera yang dijangkiti wabak berkenaan.

“Kita bersiap sedia dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menasihatkan anggota tentera mengambil langkah berjaga-jaga menggunakan sanitizer (pembasmi kuman) dan memakai penutup hidung dan mulut”.

Dalam kenyataan yang sama, beliau juga menegaskan Kementerian pertahanan pada masa akan datang akan melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti melibatkan tentera dalam masyarakat.

“Kementerian akan menggunakan tagline "Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada" kerana ATM bukanlah eksklusif untuk tentera sahaja, namun tentera juga sebahagian dari masyarakat” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Pertahanan hari ini.

Terlebih dahulu, beliau bersama timbalannya, Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz telah diberi taklimat umum oleh Ketua Setiausaha, Datuk Muez Abdul Aziz dan Lt Jen Dato' Pahlawan Redzuan Hj Baharuddin Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pentadbiran dan operasi Kementerian dan ATM.

Taklimat merangkumi organisasi, peranan, struktur pentadbiran, penugasan dan perancangan serta fokus Kementerian Pertahanan dan ATM terutamanya untuk sepanjang tahun 2020.