BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2020 - Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM berkata penugasan untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19 tidak melibatkan anggota tentera sebaliknya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Buat masa ini, PDRM akan menentukan semua (tugas) penguatkuasaan susulan pengumuman perintah itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas adakah anggota ATM terlibat dalam menguatkuasakan perintah yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.

Beliau turut menjelaskan yang pengumuman perintah itu tidak akan menjejaskan operasi serta penugasan pegawai dan anggota di sempadan serta perairan negara.

"Operasi di sempadan serta perairan negara akan berjalan seperti biasa namun ATM akan mengurangkan latihan yang tidak mendesak," katanya.

Muhyiddin hari ini mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan baharu wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.