BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2020 - Kadar pematuhan rakyat Malaysia terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan adalah tinggi kerana sebahagian besar daripada mereka telah memahami dengan jelas tujuan perintah itu dikuatkuasakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, selain patuh terhadap perintah yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penularan jangkitan wabak COVID-19 di negara ini, sebilangan besar rakyat juga mampu mendisiplinkan diri sendiri untuk mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan.

"Apabila PKP pertama diperkenalkan, walaupun ia satu perkara yang tidak pernah dijangka oleh seluruh rakyat hingga terpaksa duduk di dalam rumah dan tidak boleh keluar, tetapi mereka tetap patuh dari segi keseluruhannya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kelakuan dan tindakan rakyat Malaysia yang jauh berbeza dalam mematuhi peraturan kerajaan khususnya PKP jika dibandingkan dengan sesetengah rakyat negara lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun ketika ini kerajaan sudah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lebih longgar namun tidak ada rakyat Malaysia yang sengaja mengambil kesempatan untuk keluar rumah tanpa keperluan.

"Kita jangkakan akan berlaku kelam-kabut pada hari pertama PKPB dilaksanakan atau berlaku huru-hara sikit, tetapi apabila saya sendiri berjalan dan melihat di beberapa kawasan pusat beli-belah di ibu negara nampaknya keadaan terkawal.

Menurut beliau lagi, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan kawalan kendiri bagi mengawal diri masing-masing untuk berdisiplin dalam mematuhi SOP ditetapkan.