BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2020 – Malaysia dan China komited untuk terus mempertingkat kerjasama pertahanan sedia ada antara kedua-dua negara.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menyatakan bahawa komitmen kerjasama itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob apabila menerima panggilan telefon daripada Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe pukul 4 petang semalam.

YB Menteri dan rakan sejawatnya turut membincangkan mengenai cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk Laut China Selatan. Selain itu, tumpuan perbincangan antara kedua-dua menteri turut berkisar kepada krisis global semasa iaitu wabak COVID-19.

Dalam perbincangan itu, kedua-dua menteri berkongsi pengalaman mengenai langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan di negara masing-masing dalam menangani situasi COVID-19.

Kedua-dua Menteri bersependapat bahawa adalah amat penting bagi setiap negara untuk terus bekerjasama dalam mendepani wabak COVID-19. YB Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan China atas sumbangan bekalan perubatan yang terdiri daripada 13 jenis peralatan perubatan. Sumbangan daripada pihak China ini akan membantu petugas barisan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).