BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2020 - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1.8 juta daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada 6,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia Kepada Veteran ATM yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan itu adalah usaha MAIWP bagi membantu veteran ATM dalam kalangan B40.

Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan ampun kurnia berupa wang tunai dan hamper barangan makanan asas kepada 10 veteran ATM sebagai simbolik Seri Paduka berkenan berangkat menyantuni golongan veteran ATM yang telah banyak mencurahkan bakti kepada Negara.

Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Banginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mendengar sembah taklimat majlis daripada Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis hari ini dianjurkan MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, JHEV ATM Kementerian Pertahanan dan pertubuhan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohd Ajib Ismail.