BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

SUBANG, 28 Jun 2020 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dengan melaksanakan penerbangan ihsan dari Kota Kinabalu ke Pangkalan Udara Subang bagi membawa pesakit yang memerlukan pembedahan segera di Hospital Kuala Lumpur.

Pesakit, Suhaidin bin Naim, berusia 50 tahun yang mempunyai masalah salur darah bahagian leher dan menyebabkan lumpuh telah diterbangkan dengan menaiki pesawat A400M dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada jam 1.30 tengah hari dan selamat tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 5.40 petang tadi. Pesawat A400M dari no. 22 Skuadron ini telah diterbangkan oleh Kapt Mohd Fitrie Idham bin Kamaruddin TUDM selaku juruterbang dan Kapt Wan Ubaidullah bin Wan Hanapi TUDM selaku pembantu juruterbang bersama lima (5) orang anak kapal.

Tanggungjawab sosial dilaksanakan oleh TUDM ini khusus bagi mereka yang benar-benar memerlukan. Semoga dengan usaha murni ini dapat membantu ke arah memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus terjaga.