BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider


SARAWAK, 16 Sept 2020 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob melakukan lawatan kerja singkat ke Sarawak iaitu ke Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kompleks Kem Muara Tuang, Kota Samarahan dan Kem RASCOM.

Ketibaan Menteri Kanan Pertahanan dan delegasi telah disambut oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi di Pangkalan Udara Kuching. Setibanya di Kem Muara Tuang, beliau diberi penghormatan memeriksa Kawalan Kuarters dari anggota Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat serta diberi taklimat berkaitan perkembangan semasa Pemerintahan Medan Timur.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk meninjau perancangan projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang dirancang pembinaannya di kem tersebut. Buat masa ini kesemua Pegawai dan Staf Markas Pemerintahan Medan Timur, Markas serta trup formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia yang bertugas di Kem Muara Tuang terpaksa berulang alik dari Kem Penrissen, Kuching.

Beliau dan delegasi sempat beramah mesra bersama warga Pemerintahan Medan Timur dan BAKAT Gabungan PMTTD pada majlis makan tengahari di Wisma Perwira Sri Kenyalang. YB Menteri Kanan Pertahanan turut meluluskan peruntukan RM800,000.00 bagi menyelenggara dan membaiki kompleks mini stadium serta kemudahan sukan di kem tersebut.

Turut serta dalam lawatan berkenaan adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima 1 Divisyen, Mej Jen Dato' Dzulkafli bin Haji Mustaffa serta Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia dan Kementerian Pertahanan. Delegasi Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Tentera Darat kemudiannya berlepas ke Sibu untuk melakukan lawatan ke Kem RASCOM. Ketibaan delegasi telah disambut oleh Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia, Brig Jen Abdul Rahman bin Abdul Wahab di Wisma Perwira 9 Briged.

Kredit: Tentera Darat Malaysia