BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KOTA KINABALU, 18 Sept 2020 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kem Lok Kawi yang merupakan sebahagian daripada siri lawatan beliau ke kem-kem tentera seluruh negara.

Ketibaan beliau yang diiringi oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.

Dalam lawatan tersebut, Menteri Kanan Pertahanan dan Panglima Tentera Darat berkesempatan beramah mesra bersama warga Kem Lok Kawi serta bersemuka dengan anggota bagi mendengar permasalahan yang dihadapi.

Dalam ucapannya, beliau memaklumkan kepada warga Kem Lok Kawi bahawa segala projek penyelenggaraan kem tersebut yang dijanjikan dalam lawatan beliau sebelum ini telah dan sedang dilaksanakan termasuk kerja penurapan jalan dalam kem, memperbaiki kemudahan asas dan proses mengecat semua depoh peluru.

Projek memperbaiki sistem perparitan yang telah diluluskan peruntukannya kini dalam proses kajian teknikal dan akan dimulakan kerja-kerja berkaitan apabila kajian tersebut selesai. Ini akan memberi ruang yang lebih selesa kepada warga Kem Lok Kawi serta Divisyen Kelima Infantri Malaysia yang baru setahun penubuhannya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warga BAKAT yang sentiasa bersabar dan menyokong para suami mereka bertugas tanpa mengira masa. Pengorbanan yang amat besar kerana menjaga keluarga semasa ketiadaan suami yang bertugas demi keselamatan negara.

Turut mengiringi sepanjang lawatan kerja tersebut adalah Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima-panglima Briged, Pegawai Tentera Darat dan Kementerian Pertahanan.