BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 18 Sept 2020 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abd Aziz telah hadir menyempurnakan Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil serta Khutbah Khas Solat Jumaat Hari ATM Ke-87 bertempat di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan hari ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 700 jemaah ini diadakan bertujuan untuk menzahirkan kesyukuran terhadap kejayaan ATM sepanjang menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada negara selama 87 tahun sejak penubuhannya.

Walaupun diadakan dalam suasana norma baharu namun ia tetap diraikan secara bersederhana bagi menghargai setiap jasa dan pengorbanan warga ATM terutamanya kepada para pahlawan terdahulu yang telah banyak mengubah kehidupan masa kini.

Dalam masa yang sama, majlis yang juga anjuran Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) ini juga adalah untuk menghargai para petugas barisan hadapan yang kini sedang bertugas dalam melawan penularan pandemik COVID-19 menerusi pelbagai operasi yang sedang dijalankan samada di darat, laut dan juga udara. Ini adalah untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara setiap masa.

Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima-Panglima Perkhidmatan, barisan pihak pengurusan tertinggi ATM serta warga Kementerian Pertahanan.