BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KOTA KINABALU, 18 Sept 2020 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Sabah kepada veteran ATM bertempat di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Seramai 350 orang veteran ATM telah terpilih menerima pingat PJM hari ini setelah kali terakhir majlis penganugerahan dilaksanakan di Sabah pada tahun 2015.

YB Menteri dalam ucapannya menyatakan bahawa, Kementerian Pertahanan telah merancang untuk mengadakan penganugerahan sebanyak 2 Siri pada bulan ini dan majlis seterusnya akan diadakan di Sandakan pada 25 September 2020.

Sehingga hari ini, terdapat 29,664 warga veteran ATM telah menerima PJM. Pemberian pingat ini merupakan salah satu penghargaan oleh kerajaan dan sebagai pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia dari ancaman komunis.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, YBhg Jeneral Tan Sri Zamrose bin Mohd Zain, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, YBhg Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan, wakil jabatan serta wakil-wakil persatuan Veteran ATM.