BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KUALA LUMPUR, 12 Okt 2020 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abd Aziz telah mengadakan Lawatan Kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD).

Ketibaan beliau telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohammad bin Ab Rahman. Beliau seterusnya menerima tabik hormat serta memeriksa Kawalan Suku daripada warga Markas PMBTD.

Lawatan ini adalah bertujuan untuk melihat sendiri kemudahan infrastuktur dan fasiliti yang terdapat di PMBTD. Taklimat berkaitan operasi, pentadbiran dan logistik telah disampaikan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat di Bilik Mesyuarat Utama MK PMBTD.

Taklimat ini juga lebih berfokus kepada pengoperasian dan kebajikan warga dan unit di bawahnya naungannya bagi memastikan segala permasalahan dan isu semasa dapat ditangani demi memastikan kesiapsiagaan warga sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Dikesempatan itu juga, beliau turut berpeluang untuk beramah mesra dan bersua secara bersemuka bersama warga MK PMBTD.

YB Timbalan Menteri dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TDM yang terlibat dalam penugasan Op Penawar dan Op Benteng di atas komitmen dan kerjasama semua pihak dalam melaksanakan tugasan terutama dalam situasi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Beliau juga turut menyatakan bahawa kebajikan warga ATM sentiasa menjadi keutamaan. Justeru, pembinaan dan senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) akan dilaksanakan dengan segera demi memastikan keluarga serta moral warga sentiasa terpelihara.

Turut hadir, Panglima 2 Div, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Panglima 3 Div, Mejar Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Panglima 4 Div, Mejar Jeneral Dato' Hj Ya'cob bin Hj Samiran, Panglima Briged Arti Roket, Brigedier Jeneral Ahmad bin Abu Bakar serta Pegawai-Pegawai Kanan dan warga Markas PMBTD.