BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2020
Slider

KELANTAN, 11 Januari 2021 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menyempurnakan majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa dan meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Sri Rantau Panjang 2 serta SK Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu semalam.

Depot Simpanan Pertahanan melalui Kementerian Pertahanan telah menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan seperti pakaian, tilam, bantal tikar dan selimut untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa terjejas. Sumbangan tersebut juga telah diserahkan kepada wakil-wakil pemimpin tempatan untuk disalurkan kepada semua mangsa terlibat.

Usai majlis penyerahan, YB Menteri dan delegasi terus ke SK Sri Rantau Panjang 2 untuk meninjau keadaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekolah tersebut.  Seramai 306 mangsa telah ditempatkan di PPS melibatkan penduduk dari kampung-kampung sekitar kawasan terbabit. 

Seramai 9 pegawai dan 53 Lain-lain Pangkat (LLP) dari Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) dan tim perubatan tentera telah diaturgerak dalam melaksanakan tugasan ini.

Selesai majlis dan lawatan di Kelantan, YB Menteri bersama delegasi kemudiannya turut dibawa ke Terengganu bagi melihat situasi semasa PPS di SK Bukit Mentok, Kemaman serta menyerahkan sumbangan kepada mangsa terlibat. PPS ini menempatkan seramai 139 keluarga terjejas terdiri daripada penduduk yang tinggal di kampung berdekatan. 

Diakhir lawatan, YB Menteri bersama delegasi turut berkesempatan untuk menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS di SMK Mat Kilau, Kuantan serta menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terlibat.  

Hadir sama, Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain serta Pegawai-pegawai Kanan ATM. 

Diharapkan dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak Kementerian dan ATM dapat meringankan beban mangsa terlibat dan semoga mangsa dan keluarga tabah hadapi ujian ini dan didoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan kelak.