Kuala Lumpur, 14 Januari 2019 - Ybhg Dato' Halimi bin Abd Manaf telah menyempurnakan Amanat Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Tahun 2019 bertempat di Auditorium, Wisma Pertahanan, hari ini.

Perutusan Khas ini julung kali diadakan pada tahun 2019 yang melibatkan seramai hampir 700 orang kakitangan awam Kementerian Pertahanan. Dalam ucapan, beliau menyeru warga MinDef untuk bersatu dan berkerjasama di semua lapisan peringkat tidak hanya di peringkat atasan, tetapi terus ke sektor, bahagian dan unit kecil tanpa mengikut kemahuan dan kepentingan diri sendiri.

Menurut beliau, komitmen, kerjasama, dan penerimaan dari seluruh warga MinDef amat penting dalam merealisasikan 5 teras utama bagi memacu perjalanan MinDef yang telah di sampaikan dalam Perutusan Khas YB Menhan iaitu Hubungan Luar dan ASEAN, Dunia Islam dan Ancaman Asimetrik, Kesiagaan ATM, Kesejahteraan Anggota Tentera, Awam dan Veteran serta Kertas Putih Pertahanan.

Beliau turut menegaskan bahawa MinDef akan sentiasa memastikan kebajikan warga awam terjaga dan terbela. Pelbagai usaha telah dan akan dipergiatkan lagi bagi menambahbaik rumah keluarga atau kuarters termasuk bantuan teknikal, menambahbaik fasiliti, infrastruktur dan penyelenggaraan.

Hadir bersama, Puan Mastura binti Ahmad Mustafa; TKSU Pembangunan; Dr. Karminder Singh Dhillon; TKSU Pengurusan; Encik Ahmad Nadzri bin Mohd Hassan, TKSU Dasar; Ketua-ketua Jabatan, Setiausaha – setiausaha Bahagian, Pegawai-pegawai Kanan dan warga MinDef