Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2021 - Usaha mencapai imuniti kelompok untuk lebih 500,000 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata proses vaksinasi itu mampu dipercepat dengan kaedah pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat yang menyaksikan projek perintisnya di Kem Perdana Sungai Besi.

Tambah beliau lagi, kaedah pandu lalu itu mampu melakukan pemberian vaksin sehingga 1,500 dos sehari, meliputi anggota tentera, ahli keluarga mereka, serta orang awam yang bekerja sebagai staf Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak kementerian juga telah memohon dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pharmaniaga Bhd, serta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 bagi mendapatkan vaksin Sinovac secara terus kepada warga ATM.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai meninjau hari kedua pelaksanaan PPV Pandu Lalu di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.